PAUSE HERE

4.2 Dasar-Dasar Utama Kerajaan




Dasar-dasar ekonomi secara keseluruhannya ialah tapak, panduan falsafah, peraturan dan cara mencapai sesuatu matlamat ekonomi negara. Dasar ekonomi juga merujuk usaha untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan (kebendaan dan bukan kebendaan). Pada peringkat awal, terutama sebelum tahun 1971, sebahagian besar program pembangunan ekonomi negara bertumpu kepada usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertambahan dalam pendapatan per kapita. Sememangnya dari setahun ke setahun, kedua-dua unsur ini  menunjukkan peningkatan. Namun, masih berlaku masalah kemiskinan dan penguasaan sektor ekonomi tidak seimbang antara kaum. Misalnya, jurang kemiskinan antara golongan kaya dengan golongan miskin masih terlalu besar, monopoli sektor ekonomi oleh sesebuah kaum masih ketara dan masalah pengangguran dalam kalangan penduduk yang menyebabkan gejala sosial sering berlaku.

Program pembangunan ekonomi perlu dirancang bagi memastikan seluruh rakyat memperoleh keperluan asas ( makanan, pakaian dan tempat tinggal ) dan keperluan-keperluan besar lain seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan hak-hak kemanusiaan. Selain itu, ringkasnya dapat dirumuskan bahawa strategi pembangunan ekonomi negara selepas merdeka adalah untuk mencapai pembangunan yang seimbang bagi semua sektor ekonomi, perpaduan kaum dan kestabilan politik.

Selepas tragedi 13 Mei 1969 , sebagai sebuah negara yang tergolong dalam kumpulan Negara Dunia Ketiga ketika itu Malaysia sedang merancang pelbagai pembangunan ekonomi bagi membolehkan negara ini mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (New Industrialised Country). Hal ini kerana, kebanyakan negara maju di Barat yang tergolong dalam kategori negara dunia pertama ialah sebuah negara perindustrian. Justeru, negara-negara Dunia Ketiga termasuk Malaysia ketika itu merancang pelbagai program pembangunan terutama dalam sektor industri untuk mencapai tahap atau status seperti negara-negara Barat.

Justeru, beberapa buah dasar digubal dan diaplikasikan di negara ini. Antaranya ialah dasar-dasar yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi negara. Pembentukan dasar-dasar ini penting kerana bukan sahaja bermotifkan perpaduan rakyat, malahan mencakupi semua aspek kehidupan dan kemanusiaan dalam negara. Dasar-dasar ini juga dibentuk dengan mengambil kira setiap peringkat umur, kaum, taraf sosial dan agama supaya lahir sikap bertolak ansur, berperikemanusiaan, bertanggungjawab dan nilai-nilai murni yang lain dalam kehidupan. Sejajar dengan itu juga, dasar-dasar yang berkait dengan pembangunan sosial turut diperkenalkan. 

1 comment:

Anonymous said...

padat and simple . mudah nak faham . btw i like this .